Bahasa Melayu Jati Diri Melayu
Kehebatan bangsa Melayu memang berkait rapat dengan sejarah dan kesultanannya. Boleh dikatakan pengenalan ini,mempunyai susur galur dengan kerajaannya yang terbina di utara tengah dan di pantai timur Semenanjung selain dari beberapa buah kerajaan di pesisir Selat Melaka,khususnya Srivijaya.
Masyarakat Melayu menjadi masyarakat terbuka dan berkontak dari segi politik,ekonomi dan perdagangan antarabangsa. Sehubungan dengan itu, bahasa Melayu juga bertambah kukuh dengan kemasukan tulisan serta perkataan asing. Pada mulanya tulisan dan perkataan Tamil,Sanskrit,Parsi dan Negara Timur Tengah, mengembangkan bahasa tersebut. Namun setelah kedatangan Islam,bahasa Melayu menjadi bahasa perkasa dengan tulisan Jawi selain daripada meluaskan penggunaan bahasa tersebut di kalangan peniaga-peniaga di rantau ini.
Walaupun ada beberapa kajian berkaitan dengan bahasa Melayu dan kaitannya dengan sastera dan budaya, tetapi jarang diketahui umum bahawa bahasa Melayu mempunyai kehebatan bukan dalam bentuk pengucapan sahaja,tetapi dalam bentuk membina keteguhan jati diri Melayu.
Pembinaan jati diri Melayu ini boleh diselami bagaimana bahasa Melayu membangunkan satu ikatan sosial yang kukuh,bukan sahaja di peringkat bawahan,tetapi juga di peringkat atasan. Bukti kepada pembinaan tersebut ialah di dalam teromba Adat Perpatih. Teromba ini boleh juga dirujuk pada masyarakat keturunan Minangkabau di Negeri Sembilan.
Memang ada kebenaran kuatnya masyarakat kerana adat. Tetapi dalam konteks bahasa, bahasa itulah pengikatnya. Oleh itu,bahasa Melayu mempunyai kekuatan yang luar biasa sehingga dapat membentuk kekuatan individu,masyarakat dan negaranya.
Berpaling pula kepada persoalan sastera dan budaya, bahasa Melayu telah terbukti mempunyai kekuatan tersendiri. Ada kalanya bahasa Melayu mempunyai nilai-nilai spiritual dan magis. Seperti bahasa lain,khususnya bahasa Arab yang menjadi asas bahasa Al-Quran,yang mempunyai nilai-nilai tersebut. Hakikat ini dapat diselami di dalam amalan budaya Melayu yang berkaitan dengan perbomohan,pawang,dukun dan pengamal ilmu-ilmu batinnya.
Sehubungan dengan itu, masyarakat Melayu jika mahu mempertahankan jati diri mereka dan penampilan sebagai suatu bangsa yang ada kehebatannya, mereka hendaklah kembali semula mendalami tradisi Melayu itu khususnya ilmu kebomohan,persilatan dan seni perang Melayu agar mereka dikenali sebagai satu entiti bangsa yang teguh. Tujuannya bukanlah kita terlalu bersifat berpusat kepada Melayu,tetapi usaha berpusat kepada Melayu itu adalah kembali kepada tradisi yang menjadi kehebatan Melayu itu dari segi bahasa,sastera dan budayanya.
Di sinilah bahasa,sastera dan budaya itu menjadi jiwa kepada orang Melayu. Masyarakat lain pasti akan mengikuti orang Melayu sebagai masyarakat induk di negara ini sekiranya mereka menunjukkan keterampilannya dalam bahasa,sekali gus sastera dan budayanya.
