Disclaimer: I don't actually own the cover image for this fanfiction. So if, by chance the actual owner sees this then please contact me so I can credit you. Or if you want me to take it down, I will (: thank you in advance.


.bab 1.

.

.

England

Pendek tu comel. Tapi waktu-waktu macam ni… Heiii. Geram betul aku.

Yayu menjengket sambil menghulur tangan. Setinggi termampu. Jari-jemarinya dikuis, dan dikuis lagi untuk mencapai sebuah buku di rak paling atas. Tebal. Berat.

Kalau jatuh atas kepala ni, boleh biul seminggu.

Belakang Yayu tiba-tiba ditepuk.

Yayu menoleh. Dia terkebil-kebil apabila seorang budak lelaki ber-t-shirt hijau dan berseluar jeans biru, tanpa sebarang mukadimah, berjalan masuk dan menyelit di antara dirinya dengan rak buku tersebut.

Kenapa pulak mamat ni? Yayu mengerut dahi. Budak lelaki itu memandang rak paling atas. Menghulur tangan. Tanpa sebarang penat-lelah, dia mencapai buku yang separuh mati cuba didapatkan oleh Yayu tadi.

Kemudian budak lelaki itu menoleh ke arahnya. Memandang Yayu yang masih sedikit blur.

Buku tersebut ditujah ke dahi Yayu.

"Sakitlah." gertaknya spontan. Apa masalah mamat ni? Buku itu dialih dengan mata yang dijegil.

Budak lelaki itu tidak menjawab. Sebaliknya, dia menghentak kaki kirinya ke lantai. Dua kali. Mata Yayu terus memandang. Budak lelaki itu berkasut sukan jenama Nike. Kakinya digerakkan lagi. Dihulur masuk ke dalam satu ruang yang terdapat di antara rak buku dengan lantai perpustakaan.

Apabila budak lelaki itu menarik semula kakinya keluar, ada sebuah bangku kecil yang turut ditarik sama.

Yayu menjilat bibir. Terkedu. Terang lagi bersuluh, bangku kecil tersebut adalah "alat bantuan" bagi orang-orang "kurang tinggi" seperti dirinya. Tempat dipijak dan berdiri, untuk mendapatkan buku-buku nun di langit sana.

Kaki budak lelaki itu menolak kembali bangku berkenaan. Dimasukkan semula ke bawah ruang simpanan, di antara rak buku dengan lantai perpustakaan.

Budak lelaki itu memandang Yayu dengan senyum kecil. Kedua tangannya diangkat dan digerak-gerakkan membuat beberapa gaya.

Bahasa isyarat.

Akhirnya budak lelaki itu mengenyit mata, tersengih kecil, sebelum dia beredar melintasi Yayu.

Hampir tiga ratus enam puluh darjah, Yayu berpusing. Mulutnya dibuka dengan niat untuk berterima kasih. Namun kemudian dia menutup semula mulutnya. Dia tidak tahu, sama ada budak lelaki itu boleh mendengar ataupun tidak.

Seorang budak perempuan berlari-lari anak masuk dari pintu perpustakaan. Diterpanya budak lelaki tadi dengan senyum girang. Kedua tangannya dipaut erat, memeluk lengan kiri budak lelaki itu.

Niat Yayu untuk mengucapkan terima kasih, terus lesap.

Apa-apa lah.

Dia berpaling ke meja kosong paling dekat. Kerusi ditarik, kemudian dia duduk dan membuka buku di tangan:

Whammy House telah ditubuhkan pada tahun 1984, oleh seorang hartawan berbangsa British yang dikenali sebagai Quillsh Whammy. Hak milik persendirian, ia merupakan sebuah institusi yang menempatkan kanak-kanak ber-IQ tinggi yang datang, ditawarkan untuk masuk, malah ada juga yang "dikutip" dari seluruh pelosok dunia.

Pada umumnya Whammy House berfungsi tepat seperti sebuah sekolah berasrama penuh. Subjek-subjek asas seperti bahasa, sains dan agama, setiap satu diajarkan kepada mereka yang berada di Whammy House. Namun berbeza dibandingkan dengan "sekolah" yang menempatkan pelajar seusia mereka, di Whammy House terdapat subjek-subjek lebih "kritikal" yang turut disediakan, antara lain forensik, kriminologi, profiling, kombat. Subjek-subjek seperti kulinari, tarian bahkan melukis juga ada disediakan bagi mereka yang lebih menjurus kepada bakat artistik.

Secara rasmi, mereka ini kemudiannya "dilepaskan" semula ke dunia luar apabila mencecah usia sembilan belas tahun. Dari situ—

Yayu berhenti membaca. Dahinya berkerut.

Bahan yang diinginkannya adalah mengenai L. Tentulah, dia tidak meletakkan harapan tinggi untuk menemui info terperinci berkenaan lelaki yang dilabel sebagai "detektif nombor 1 dunia" itu. Namun sangkaannya, paling tidak maklumat seperti usia L sewaktu mula-mula memasuki Whammy House akan tercatat di dalam buku ini.

Beberapa muka surat seterusnya dibelek. Dibaca sepintas lalu.

Bam!

Satu timbunan buku-buku tebal lagi berat tiba-tiba terhempas ke atas meja. Betul-betul di depan Yayu. Dia terundur sedikit ke belakang, menyandar pada kerusi sebelum mendongak melihat budak perempuan Chinese yang telah mempersoalkan itu dan ini kepada Rachel dan Mello sejak pagi tadi.

"Hufff! Penat." budak perempuan itu mengesat lengan bajunya ke dahi. Senyum di bibirnya mekar, membalas renungan terkejut Yayu. "Barang-barang saya baru sampai setengah jam tadi," dia memulakan bicara. Kerusi bertentangan Yayu ditarik dan dia duduk di meja Yayu, tanpa dijemput mahupun dipelawa. "Kak Erin bawak saya ke bilik saya. Itu Kak Erin, by the way." jarinya dituding tidak lain tidak bukan, kepada budak perempuan yang masih menempel rapat di sisi budak lelaki yang telah membantu Yayu tadi. "Dan dalam bilik tu, saya nampak picture frame awak. Maksudnya kita ni roommates." tangannya dihulur pula kepada Yayu. "Selamat berkenalan, nama saya Miaa."

Untuk beberapa saat, Yayu sekadar memandang budak perempuan itu. Berkulit cerah, putih dengan tona kuning seperti yang dimiliki kebanyakan orang Asia.

"Yayu." sahutnya ringkas, menyambut tangan yang dihulur dengan senyum kecil.

Apabila Miaa mengangguk dengan senyum yang berbalas dan kemudian memberi fokus kepada timbunan buku-buku yang dibawanya ke meja tersebut, Yayu menghela nafas lega. Lega kerana budak perempuan itu tidak memanjang-lebarkan lagi situasi mereka. Saat ini dia tidak rasa ingin berbual atau melayan sesiapa.

Sebaik mereka bertujuh "budak-budak baru" sampai lewat malam tadi, Encik Roger pengurus Whammy House sudah serta-merta menjemput mereka untuk ke pejabat. Di situ mereka telah diterangkan mengenai tujuan pertama di sebalik kewujudan institusi ini.

"Kami di Whammy House, bertanggungjawab untuk melatih sesiapa di antara kamu yang mempunyai minat dan potensi, untuk suatu hari nanti menggantikan detektif nombor 1 dunia."

L.

Sudah lapan tahun berlalu sejak malam di mana ibu-bapa mereka dibunuh dan mereka terpisah apabila abangnya diheret pergi, namun Yayu masih tidak mempunyai jawapan mengenai apa sebenarnya yang berlaku. Apatah lagi, kenapa mereka diperlakukan begitu.

Yayu menongkat siku di atas meja. Dengan mata terpejam, dia menampung pipi kiri di dalam tapak tangan. Setiap butir perkataan yang tercatat rapi di dalam jurnal bapa mereka, sedang melintas dan berlalu cermat di dalam kepalanya. Berdenyut-denyut.

"Ada manusia dalam dunia ni yang mempunyai kebolehan luar biasa, jauh melangkaui kemampuan rata-rata manusia lain. IQ yang tinggi cuma salah satu contohnya aje. Dan itu pun, sekarang ni kewujudan "genius" dah jadi hambar. Normal. Mudah didapati. Contoh lebih "kontroversial" adalah manusia yang memiliki kebolehan "psikik" macam menggerakkan objek hanya dengan pandangan mata. Yang boleh memanipulasi fikiran dan perasaan manusia lain. Yang boleh melihat ke masa depan."

Yayu mengerut dahi. Matanya masih dipejam, mula diurut dengan hujung jari telunjuk.

"Ada teori mengatakan, kebanyakan daripada kita cuma menggunakan dua puluh peratus saja kebolehan otak. Dan teori ni membuat andaian… Bahawa manusia "psikik" bukanlah menggunakan magik atau sihir, tapi sebenarnya mereka menggunakan lebih dari dua puluh peratus kebolehan otak mereka.

Teori lain mengatakan kebolehan "psikik" ni terkandung di dalam satu gene yang hanya diwarisi oleh beberapa peratus kecil populasi dunia. Disebabkan tu, kewujudan mereka sangat jarang. Dianggap sebagai "mitos" oleh kebanyakan orang.

Dan ada jugak… Teori yang mengatakan ada sesuatu yang menyebabkan evolusi lebih cepat berlaku pada otak sesetengah manusia, dan evolusi tu menyebabkan mereka mendapat kekuatan yang kebanyakan daripada kita cuma pernah tengok dalam TV.

Dua bulan yang lalu, kami menyaksikan sendiri anak lelaki kami menggerakkan sebuah almari yang telah jatuh menimpa adik perempuannya."

Imej sebuah almari berona coklat gelap, dengan saiz yang cukup "gergasi" buat dirinya ketika itu yang hanya berusia tujuh tahun, terimbas jelas di fikiran Yayu. Perasaan sakit dihempap almari tersebut turut kembali terasa. Saat dia menangis, meminta tolong, berat di atas belakangnya tiba-tiba hilang. Lenyap.

Dia mendongak tanpa berganjak dari karpet tempat dirinya tersungkur. Perabot antik itu terapung di udara. Sinar di permukaan almari tersebut masih jelas di dalam fikirannya.

Namun apabila dia mengalih pandang ke depan, mencari budak lelaki yang berdiri di situ, dia langsung tidak dapat melihat wajah abangnya. Kabur. Kusut.

Dia tidak pasti sama ada Whammy House dan L benar-benar menjaga abangnya dengan baik. Sama ada institusi ini ikhlas atau sekadar mempergunakan abangnya saja. Dia ingin melihat sendiri. Dan andai kebolehan milik abangnya itu tidak digunakan untuk tujuan yang baik sekalipun… Dia ingin tahu bahawa abangnya gembira. Bahagia.

Sekurang-kurangnya, salah seorang daripada kita kena bertuah. Biar berbaloi apa yang mak dan ayah korbankan.

Jadi setelah menerima lawatan oleh Encik Quillsh Whammy sendiri pada empat tahun lepas, Yayu mula berusaha untuk memohon masuk ke Whammy House.

Menurut Encik Quillsh Whammy, abangnya telah ditemui di pangkalan utama milik organisasi yang telah mengambil nyawa ibu-bapa mereka. Selama itu jugalah, abangnya telah hidup sebagai salah seorang ahli kepada organisasi tersebut.

"Lepas abang Cik sedar, dia langsung tak ingat apa-apa. Doktor kata ia mungkin cuma sementara. Kebolehan psikik dia dah tak muncul juga, mungkin disebabkan ingatan dia yang hilang. Dan secara peribadi, saya harap ingatan tu hilang seumur hidup. Kalau dia tak dapat semula kebolehan psikik tu sekalipun, tak apa. Dia tak perlukannya untuk cipta kenangan baru. Kenangan yang lebih baik. Dan saya harap, Cik pun ada bersama dengan dia untuk tu."

Yayu betul-betul suka dengan lelaki tua bernama Quillsh Whammy itu. Pandangan mata dan tutur kata lelaki itu hangat dan mesra. Mengingatkan dirinya terhadap mendiang atuk mereka.

Sengaja, Yayu meminta agar tidak diberitahu tentang identiti abangnya. Kediaman mereka telah musnah pada malam pembunuhan ibu-bapa mereka. Hangus disambar api. Dia masih ingat dengan jelas setiap kenangan mereka sekeluarga, namun imej wajah abangnya telah lenyap. Sama seperti seluruh isi rumah mereka. Hilang dari minda dan menurut doktor, ia berlaku disebabkan trauma yang dialaminya pada malam tersebut.

Namun kini, dia berjaya sampai ke Whammy House. Jadi Yayu yakin, dia pasti mampu mengenal sendiri abangnya walaupun tidak diberitahu oleh Encik Quillsh Whammy. Dia tentu akan mengecam budak lelaki yang telah mengajarnya mengayuh basikal. Budak lelaki yang ketawa dipakaikan kalung bunga olehnya di atas kepala. Budak lelaki yang telah melindunginya dari pembuli di taman permainan. Budak lelaki yang membelikan enam kotak ais krim untuknya apabila dia tidak mahu memilih.

"Yayu!" jeritan Miaa tiba-tiba menerjah ke telinga.

Sebaik Yayu membuka mata, budak-budak lain yang turut berada di perpustakaan itu dilihatnya semua sedang menoleh ke meja mereka. Merenung dengan pelbagai ekspresi dan gaya. Sunyi. Sepi.

Alamak. Yayu berdehem kecil. Tapi, apa yang aku dah buat? Miaa yang jerit…

"Kenapa?" soalnya agak geram.

"Tu." selamba, Miaa tidak kelihatan terganggu oleh perhatian yang sedang dituju kepada mereka berdua. Budak perempuan Chinese itu tidak mengendahkan mata-mata yang masih memerhati. Sebaliknya, dia menjuih bibir ke arah buku di tangan Yayu. Mata Yayu naik bulat. Dua helai muka surat sudah koyak. Renyuk digenggam. Dicarik. Miaa mengangkat kening. "Awak ni berangan bunuh beruang ke?"

"Habislah…" Yayu menekan dan melurut tapak tangannya ke permukaan kertas-kertas tersebut. Koyak! Takkan nak ditampal dengan cellotape aje? Dia menjerling ke kiri dan ke kanan. Tapi kalau tak ada orang nampak… Ketika itu, dia terpandang buku yang terbuka di hadapan Miaa. Nota yang dibuat sendiri. Nampak rumit dan mustahak. "Awak buat apa?" soalnya. Curious. "Terus-terang cakap, saya takkan rasa terkejut kalau awak dah start belajar walaupun kita masih belum masuk kelas. Awak nampak macam… Suka study."

Miaa menarik sengih lebar. Dia mendekat ke arah Yayu dan menguis-nguis jari-jemarinya di udara, sebagai isyarat agar Yayu turut mendekat ke arahnya.

Kedua-dua mereka tunduk, rapat ke meja.

"Awak ingat tak Chris, nombor 4 dalam senarai top 5 tu?" Miaa berbisik.

"Yang Rachel kata dah diganti dengan Lilith. Yang Mello kata dah mati tu."

"Ahah." Miaa mengangguk. "Berdasarkan info yang saya dapat, Chris tu tinggalkan Whammy House secara haram. Dia lari. Dan dia bawak lari beberapa benda penting jugak."

Berdasarkan info yang saya dapat? Yayu kemamkan bibir. Berfikir. Mereka baru saja menjejakkan kaki ke Whammy House. Belum genap sehari. Dari mana Miaa mendapatkan info? Namun bila difikir, hal seperti ini agak mustahil untuk kekal sebagai rahsia. Tentu ada saja budak-budak Whammy's yang bergosip, membuat tekaan sesama-sendiri.

"Lepas tu?"

"Ada khabar angin, katanya Mello yang tolong Chris keluar malam tu. Seluruh institusi ni black-out. Alat-alat komunikasi, elektrikal, tak berfungsi selama tiga jam. Bila semuanya dah pulih, Chris dah pergi jauh. Tapi berdasarkan info, Mello tak tahu Chris bawak lari benda penting dari Whammy House. Dia sangka Chris lari seorang macam tu aje. Dan dengar tak tadi? Mello kata, Chris dah mati. Saya rasa sebab dia geram."

Berdasarkan pemerhatian Yayu… Perkataan "geram" saja belum cukup untuk menggambarkan apa yang dirasakan Mello terhadap pengkhianatan Chris. Budak lelaki itu nampak panas baran. Nada suaranya sewaktu melontar kata-kata itu tadi, juga jelas menyimpan dendam. Marah yang mungkin menyebabkan paralysis, skull fracture atau coma terhadap Chris, paling tidak. Yayu merenung siling perpustakaan.

"Saya tak peduli pun sebenarnya, tapi sebab Chris tu handsome lah jugak… I hope dia tak bertembung dengan Mello for the rest of his life lagi dah."

Miaa merengus kecil. Tersenyum. Dia berundur semula ke belakang. Menyandar selesa di kerusi. Pen di tangannya diketuk-ketuk sedikit, penuh irama, ke atas meja.

"Dan buat masa ni, ada dua orang "senior" kita yang tengah ambil kes dekat luar. Seorang tu Matt, nombor 3 dalam senarai top 5. Seorang lagi, Alyssa. Dua-dua ada dekat Jepun, ambil kes yang sama. Alyssa masuk sebagai seorang guru baru di sebuah private high school. Boleh awak imagine? Dalam profile palsu dia yang Whammy House sediakan, dia ditulis sebagai seorang genius matematik. Umur dia sebaya dengan student-student tahun dua dekat sekolah tu, tapi dia perlu ajar mereka sebagai seorang guru."

"Bunyi macam seronok." dan leceh… Yayu mengerut hidung. Entah apa agaknya yang harus dilalui mereka, sampai masa nanti.

"Dan Matt, masuk sebagai salah seorang student."

"Mm-hm." fikiran Yayu ligat berputar.

Dari mana dia dapat semua info ni? Maklumat macam ni bunyinya macam rahsia.

Mungkin, Miaa mempunyai sumber tertentu. Mungkin adik-beradik sama seperti Yayu, yang juga berada di Whammy House?

"Sebenarnya," mata Miaa tidak berkalih memandang pen yang sedang diketuk rancak di hadapan mereka. "Sebenarnya saya rasa bukan Chris tu seorang aje yang masuk ke Whammy House dengan motif tersendiri." nada suaranya kosong, mendatar. Tidak ceria dan bersemangat seperti tadi.

Yayu diam. Merenung Miaa. Namun budak perempuan Chinese itu langsung tidak mengangkat pandangan ke arahnya.

"Awak pun sama?" Yayu menyoal. "Ada motif tersendiri masuk Whammy House?"

Miaa menggaru jari telunjuk ke pipi kanan.

"Maybe. Tapi untuk sekarang, saya cuma nak buat yang terbaik dan kumpul duit banyak-banyak." dia menutup buku notanya dan bangun berdiri. "Lapar. Jom pergi kafe?"

Hmm. Boleh lah. Yayu mengangguk. Budak perempuan Chinese itu bergerak untuk menyimpan buku-buku yang telah diambil tadi. Yayu melempar pandang ke tingkap perpustakaan. Ada budak-budak lelaki sedang bermain bola sepak di padang. Dia menyeluk poket, menarik rantai silver berloket peluru miliknya. Rantai tersebut disarung ke leher.


x

xXx

x


"Tok tok tok. Ada budak baru berjaya hack sistem Whammy's, Matt suruh beritahu awak." suara Cally menghentikan pergerakan tangan Mello.

"Siapa?" soalnya tanpa berpaling. Dia kembali memasang bahagian senjata api yang telah dileraikannya untuk dibersihkan tadi.

Pintu bilik kedengaran tertutup semula.

"Aihara Miaa. Half-Japanese, half-Russian. Dia dapat markah tertinggi untuk ujian kemasukan kali ni."

"Benda apa yang dia tengok?"

"Fail-fail kes yang tengah on, sebelum Matt kicked her back out." Cally duduk di lengan sofa Mello. Dahi gadis itu berkerut memandangnya. "Saya dengar, awak yang galakkan junior-junior tu untuk cuba."

"Do the same, if you can."

Mello merengus kecil. Memang dia ada meluahkan kata-kata itu. Andai berkemampuan, budak-budak baru itu disuruh menggodam seperti yang dilakukan Matt. Ada juga rupanya yang betul-betul serius menerima cabaran tersebut. Dan berjaya.

"Yeah. Well."

"Matt tanya, kenapa awak tak angkat panggilan dia." Cally menayang skrin telefon bimbit yang mempamer mesej WhatsApp dari Matt, disertai emotikon bercucuran air mata. Gadis itu menekan simbol voice note, dan menghalakan telefon ke mulut Mello:

"Sebab kau tu bodoh. Call aku, tapi suruh pass mesej dekat girlfriend." Mello menjawab. Lantang.

Cally ketawa. Mello tidak memberi komen apabila gadis itu kemudian terdiam, memandang senjata api di tangannya.

"Bila awak jumpa Chris dekat Jepun nanti, at least jangan tembak dia dekat kepala. Okey?" kata gadis itu selepas beberapa saat.

Kes yang ditawarkan pengurus Whammy House, Roger, kepada mereka pagi tadi, bakal menghantar mereka ke negara matahari terbit. Negara yang dikatakan menjadi persinggahan terbaru Chris. Dalam tempoh setahun sejak dia lesap meninggalkan Whammy House, budak lelaki itu sudah berjaya menghilangkan diri berkali-kali lagi, dari pihak Whammy's. Setiap kali jejaknya dikesan, ia lesap pada saat-saat terakhir. Mengejut dan tiba-tiba.

Kalau difikirkan, Encik Quillsh Whammy lebih bersungguh-sungguh. L sebaliknya tidak begitu keras dalam menangani Chris. Walaupun, pada hakikatnya, budak lelaki itu ada membawa lari sesuatu yang boleh digunakan untuk jenayah. Mello membuat kesimpulan bahawa sikap endah tidak endah L adalah kerana dia berpendapat, Chris tidak akan menggunakannya untuk tujuan jenayah. Atau paling tidak, bukan dalam masa terdekat.

"Sure." jawab Mello selepas beberapa saat. "Aku takkan tembak dia dekat kepala."

Tembak dua-dua belah kaki, biar budak tak guna tu tak boleh pergi mana-mana. Lepas tu… Dia memasang niat.

"Nota yang L tinggalkan untuk awak dalam fail tu, dia tulis "betulkan kesilapan awak" tapi saya rasa, dia bukan maksudkan suruh awak cederakan Chris. Saya rasa, L cuma nak awak settle kan rasa marah awak tu. Mungkin bercakap heart-to-heart dengan Chris."

"That's disgusting."

"Fine." Cally menghela nafas. Mengeluh. "Tolong tengok-tengokkan Erin. Ini kes pertama dia dekat luar." katanya lagi.

"Sure."

"Dan tolong jagakan Near jugak."

"Su—" Mello menjeling ke sebelah. Cally ketawa. "—siapa peduli pasal biri-biri tu."

"Hm. Tadi saya nampak Miaa menuju ke kafe. Jom pergi makan?"

"Dua minit."

"Okey." Cally bangun berdiri.

Bilik yang dikongsi bersama Matt itu kemas dan teratur, gara-gara ketiadaan budak lelaki yang suka membuat sepah itu. Mello memandang permukaan cermin di atas mejanya. Melihat pantulan imej Cally yang berada di belakang. Berjalan-jalan ke setiap sudut bilik.

Pada bahagian Matt, beberapa poster video game ditampal mengambil ruang dinding. Rak buku yang disediakan langsung tidak penuh, malah cuma terdapat beberapa biji buku saja yang mungkin sehingga kini masih belum habis dibaca. Empat tahun yang lepas, budak lelaki itu tiba di Whammy House tanpa mengetahui apa-apa tentang diri sendiri. Namun dia cukup menyakitkan hati. Mengekori Mello ke sana ke mari dengan sengih dan celoteh yang tidak putus-putus. Dengan ceria, budak lelaki itu mengambil kesempatan di atas rasa simpati yang diberikan budak-budak perempuan terhadap dirinya. Situasi "hilang ingatan" digunakan Matt sebaik mungkin, untuk bermain dengan perasaan gadis-gadis Whammy's.

Namun ada kata-kata yang menyebut, bahawa mereka yang paling kerap ketawa sebenarnya adalah mereka yang paling dalam menyimpan luka di hati. Mello tidak menyebut apa-apa, setiap kali Matt tersentak bangun di tengah malam. Empat tahun mereka menjadi rakan sebilik. Rakan kongsi dalam mensabotaj dan memperkotak-katikkan pengurus Whammy House, Roger. Namun selain rantai silver dengan loket berbentuk peluru yang tersarung di lehernya, Matt tidak pernah berkongsi kisah peribadi, dan Mello tidak pernah bertanya.

Kalau dia nak cerita, dah lama dia cerita. Peluang dia dah banyak lepas macam tu aje.

Namun Mello kurang pasti, sama ada Rachel menjadi tempat luahan atau tidak. Jika diikutkan, gadis itu bukanlah "luar biasa" sama ada dari segi rupa, akal mahupun bakat. Mello tidak tahu apa yang Matt nampak apabila memandang gadis itu. Rachel selalunya cuma bertocang kuda, ber-t-shirt ringkas dan berseluar jeans biru. Dia turut "jatuh" ke dalam jerat playboy Matt. Gadis itu tidak imun atau kebal menahan kata-kata manis dan perhatian budak lelaki, apatah lagi, budak lelaki seperti Matt. Namun hubungan mereka kemudian menjadi buah mulut budak-budak Whammy's. Rata-rata mulai perasan, tanpa angin tanpa ribut Matt telah berhenti memandang gadis lain. Kini hampir setahun, dia masih lagi kekal bersama Rachel. Satu-satunya gadis yang diperkenalkan Matt sebagai "girlfriend" kepada L.

"Mello?" Cally memanggil.

"Hah?"

"Kita memang kena bergantung pada sumber dan kebijaksanaan kita sendiri, untuk selesaikan kes. Tapi awak rasa, bila Lana beritahu Chris nanti yang dia dah tinggalkan Whammy House, agaknya Lana betul-betul cuma berlakon dan akan balik pada kita ke?"

"Kenapa? Kau tak percaya kawan kau?"

Cally mengukir senyum. Dahinya berkerut kecil. Buku "The Most Gruesome Crimes in History" kepunyaan Mello, dipegang di tangannya.

"Saya percaya Lana akan pastikan barang Whammy House yang Chris ambil tu dipulangkan semula. Tapi saya tak pasti, sama ada dia akan balik ke sini lepas tu. Mungkin sekarang Lana sendiri pun belum tahu, tapi saya boleh imagine ending yang macam tu."

"Lana tu tak nampak bodoh. Kalau aku jadi dia, aku takkan ikut lelaki yang tinggalkan aku macam tu aje."

"Tapi Mello, itu kalau awak jadi orang yang ditinggalkan. Kalau awak di tempat Chris, awak akan buat benda yang sama, macam dia buat. Awak akan tinggal saya bodoh-bodoh macam tu aje."

"Siapa kata? Aku sumbatlah kau dalam guni. Bawak sekali, lompat pagar."

Cally mengangkat kening. Dia ketawa dan menggeleng.

"Awak takkan buat macam tu."

"A'ah. Sebab kau berat." Mello menyimpan senjata apinya yang sudah berkilat digilap, ke dalam laci. Dikunci sebelum kuncinya disumbat ke dalam poket. Dia merangkul bahu Cally dengan sebelah tangan. Buku yang dipegang gadis itu diambil dan dicampak ke katil. Mereka bergerak ke pintu. "Aku akan curi helikopter L, letupkan pejabat Roger. Kau akan duduk sebelah aku, tembak sesiapa yang datang dekat."

"Okey. Yang tu saya boleh imagine awak buat…"


x

xXx

x


Jepun

Peluh dingin merenik di dahi dan tapak tangan Lana. Sudah hampir setengah jam berlalu sejak dia mula-mula melihat Chris, namun kakinya terasa cukup berat. Bagai diikat dengan rantai besi.

Budak lelaki itu duduk bersendirian, di meja bersebelahan tingkap kaca yang luas mempamer permandangan di luar kafe. Mug biru bercorak putih di hadapannya jelas mengeluarkan wap yang terapung-apung di udara. Earphone di telinga, budak lelaki itu kasual berbaju sukan. Masih sama dengan tabiatnya berjogging, seperti dahulu.

"Saya paling suka hot chocolate. Tapi kalau awak yang buatkan, saya akan minum apa saja."

Lana menahan nafas. Pejamkan mata dan menggeleng geram. Wajah Chris yang tersenyum ke arahnya ditepis dari ingatan.

Telefon bimbitnya bergetar di dalam poket. Dia masih belum menjawab mesej dan panggilan Matt sejak budak lelaki itu menghantar lokasi spesifik Chris kepadanya. Namun dia tahu, dia perlu bertindak segera atau sekurang-kurangnya memberi maklum balas. Jika tidak, Matt tentu akan datang merempuh pintu apartmentnya nanti.

Sebelum menerima kes ini, Lana yakin dirinya mampu berhadapan dengan Chris.

Tapi teori dengan praktikal memang tak sama…

Lana bangun berdiri. Kakinya dipaksa untuk berjalan. Dengan setiap langkah yang diambilnya menuju ke pintu kafe, melintasi meja Chris, dia hampir yakin budak lelaki itu akan mendengar bunyi degupan jantungnya yang kini persis gendang dipalu.

Dari ekor mata, Lana melihat Chris tersentak di kerusi. Merenung ke arahnya. Dengan riak biasa dia menolak pintu kafe dan terus melangkah keluar.

Satu.

Dua.

Tiga.

"Lana!"

Lengannya ditarik. Nyaris jatuh dibuatnya apabila dipusingkan mengejut. Kasar.

"Apa—" Lana mengerut dahi. Terdiam. Kemudian, terkejut. "—Chris?"

Budak lelaki itu turut menayang reaksi sama. Dahi yang berkerut. Terdiam. Terkejut. Namun sekelip mata, dia mempamer senyum "prince charming" miliknya yang dahulu banyak mencairkan hati gadis-gadis Whammy's. Kerut di dahinya masih terlihat.

"Saya terfikir, bila agaknya Whammy House akan hantar awak."

Lana merengus dan merentap lengannya dari pegangan budak lelaki itu.

"Saya takkan terima tugasan untuk dekati awak." hamburnya lantang. Kepala-kepala pejalan kaki lain yang menoleh ke arah mereka, tidak diendahkan.

Chris mengangkat kening.

"Awak bukan jenis—"

Lana tidak menunggu. Dia melontar riak meluat dan berpaling meninggalkan situ.

Seperti yang dirancang, Chris mengikut. Budak lelaki itu berjalan di sebelahnya.

"Dunia ni tak berputar untuk awak semata-mata." getus Lana.

"Jadi? Apa yang berlaku?"

"Awak lenyap dalam satu malam. Setahun yang lepas. Tanpa at least bagi warning pun pada saya. Kenapa saya perlu jelaskan apa-apa pada awak sekarang? Seriously, Charles Newel. Awak cuma budak lelaki yang saya pernah kenal. Awak patut anggap saya macam tu jugak dan pergi sekarang."

"Kalau saya anggap awak cuma budak perempuan yang saya pernah kenal, saya takkan hantar semua yang saya hantar pada awak dalam tempoh setahun ni." kata Chris. Perlahan. "Awak tahu Whammy's mungkin boleh jejak saya. Tapi saya masih hantar. Awak pulak langsung tak balas apa-apa."

"Maksudnya? Saya patut rasa bersalah sekarang ni?"

"Awak patut rasa, kita dah seri."

"Mello akan cakap: bullshit."

Chris ketawa. Perlahan. Tangannya diangkat ke kepala. Rambut hitamnya diramas, dipusar dengan jari-jemari hingga menjadi kucar-kacir. Bagai dirempuh puting-beliung.

Berbanding kelihatan kusut-masai, Chris sebaliknya nampak seksi dengan rambut begitu.

Lana menampar diri sendiri di dalam hati.

"Kalau saya beritahu awak tentang apa yang saya akan buat, setahun yang lepas, saya takkan ada dekat sini sekarang. Kan? Sebab awak takkan tolong saya. In fact, awak akan halang saya. Dan masa tu saya tahu, saya tak boleh ajak awak untuk ikut saya, sebab awak takkan ikut. Kesetiaan awak memang milik Whammy House."

Benar. Disebabkan itu, setiap surat dan pakej yang dihantar Chris dalam tempoh setahun ini semuanya diserahkan kepada L dan Encik Quillsh Whammy terlebih dahulu. Lana langsung tidak membuka barang-barang tersebut tanpa dilihat terlebih dahulu oleh mereka.

"Prinsip kita berbeza. Itu aje. Tak dramatik macam yang awak cakap tu pun."

"Awak memang dihantar oleh Whammy House. Dihantar untuk dekati saya. Untuk sekurang-kurangnya, dapatkan maklumat." suara Chris diturunkan lagi. "Semua orang tahu, cuma awak seorang yang boleh tarik perhatian saya."

Lana diam. Jantungnya bermain tali skipping sekali lagi. Laju, dan kuat di telinga.

Penumbuknya digenggam di sisi. Dia mengangkat bahu memandang Chris. Mempamer riak tidak peduli.

"Terpulang pada awak, kalau awak nak percaya macam tu." dia mengangkat tangan dan melambai sebuah teksi yang sedang meluncur ke arah mereka.

Chris diam. Tidak berganjak.

Lana membuka pintu dan masuk ke perut teksi.

Namun belum sempat dia menarik pintu untuk ditutup, Chris menahan.

Budak lelaki itu tunduk ke dalam teksi.

Dahi Lana dikucup.

Kemudian berbisik, Chris tersenyum beberapa inci saja di depan muka Lana. Rapat hinggakan dia boleh melihat sinar dan bayangan dirinya, di dalam mata biru budak lelaki itu. Lesung pipit di kedua belah pipi Chris jelas kelihatan. Dalam.

"Setahun saya di-ignore oleh awak, walaupun saya ambik risiko hantar macam-macam. Dalam tempoh tu, saya sedar yang awak takkan datang pada saya dengan sendiri. Maksudnya, kita jumpa kali ni memang satu kebetulan, atau awak memang dihantar oleh Whammy House. In case Whammy House yang hantar awak… It's alright. Saya yakin pada diri sendiri. Tapi tak macam dulu, next time saya nak lari, saya akan bagi awak pilihan untuk ikut atau tidak. Saya harap awak tahu, Lana: saya menyesal tak buat macam tu dulu." Chris berdiri tegak. Pintu teksi ditutup.

Teksi itu mula bergerak di jalan raya.

Terkedu, Lana sekadar merenung ke luar tingkap di mana budak lelaki itu berdiri. Di sudut jalan. Semakin lama, semakin jauh.

Chris mengangkat tangan ke arahnya. Tersenyum seperti dahulu.

x

xXx

x

"Bos ok?" Shimizu menyoal. Lif mereka bergerak naik menuju ke tingkat yang ditekan. Kening lelaki itu terangkat memandang Chris. Dia mengangkat keningnya pula sebagai balasan. "Saya tak pernah dengar Bos bersiul sebelum ni…"

"Selalunya saya bersiul dalam hati."

"Oh." Shimizu melarikan mata, merenung dinding lif di sudut kanan. Jelas terpamer riak aneh di wajahnya. Mungkin mempertimbangkan kesihatan mental Chris di saat itu.

Chris merengus dengan senyum kecil.

"Eishi ada dekat atas?" soalnya.

"Tak. Dia belum balik dari sekolah. Kebelakangan ni dia macam dah jadi pelajar contoh…" Shimizu menggaru jari telunjuk ke batang hidung. "Dia beritahu saya yang saya akan mati dirempuh traktor."

"Takut?"

"Tak jugak."

"Dia beritahu saya yang saya akan mati ditembak perempuan yang saya suka." Chris turut berkongsi info.

"Setakat ni, apa yang dia beritahu semuanya menjadi."

"Dia cuma tahu hal berkait kematian aje." Chris membetulkan. "Dia langsung tak reti main poker."

"Bos tak takut?"

Kalau diikutkan, mustahil Eishi boleh mendapat tahu bahawa nama perempuan yang disukainya adalah Lana Summer. Namun nama itulah yang telah disebut Eishi sebagai "pembunuh" Chris suatu hari nanti. Bermaksud, budak lelaki itu memang ada "melihat" Lana. Melihat Lana mengacukan pistol dan menarik picu. Ke arah Chris.

"Takut jugak. Tapi mati di tangan orang yang kita suka, tak adalah teruk sangat."

Agaknya Mello pun takkan sampai hati nak bunuh aku. Chris merenung lantai.

Lif berdenting. Nombor 126 tertera di dalam cahaya merah. Sebaik pintu terbuka, Chris melangkah keluar diekori Shimizu.

Koridor di hadapan mereka terbentang luas dan lengang. Hanya dua orang saintis yang kelihatan di arah bertentangan. Berbual.

"Selamat petang, Doktor Bradford," Chris menyapa. "Professor Shin."

Kedua-dua lelaki pertengahan umur itu mengangguk dengan senyum yang berbalas. Doktor Bradford menepuk bahu kanan Chris seraya melintasi satu-sama lain. Shimizu tunduk sedikit sebagai tanda hormat.

Sebaik tiba di pintu besi yang membawa ke dalam makmal mereka, Chris tunduk ke depan. Menghalakan anak mata untuk diimbas oleh scanner.

Suara mekanikal robot mengesahkan identitinya. Pintu terbuka, dan Chris melangkah masuk diekori Shimizu.

Makmal yang dibina di bawah bangunan hospital ini sedikit-sebanyak tidak berbeza dari makmal yang boleh dibayangkan atau pernah dibaca di dalam buku-buku sains fiksyen. Ditonton di dalam filem-filem. Cukup luas untuk menampung hampir seratus orang dalam satu-satu masa, pada minggu lepas ia menempatkan empat puluh enam penyelidik, pakar, dan dua belas subjek termasuk Eishi. Namun sekarang, hanya sepuluh subjek yang masih berada di sini.

Disebabkan Chris hanya mula terlibat pada minggu lepas, dia tidak sempat mengenali dua subjek yang kini sudah tidak bersama mereka. Seorang dari dua subjek tersebut dikatakan telah mengundur diri, manakala seorang lagi telah hilang dan masih belum dapat ditemui.

Makmal itu dibahagi cermat kepada beberapa buah blok kaca. Mesin dan manusia sama ada staf mahupun subjek, bebas ke sana dan ke mari untuk berinteraksi dan bereksperimen.

Disebabkan suasana mesra dan hubungan baik yang terlihat di antara mereka, Chris hampir lupa tentang niat sebenarnya berada di sini.

Professor Chekhov sedang duduk di kerusi menghadap skrin besar yang tergantung di depan ketika Chris dan Shimizu sampai. Lelaki itu sekadar menoleh sekejap apabila Chris mengetuk kaca di luar blok kepunyaannya, dan melambai.

"Apa yang kita tengah tengok?" Chris bertanya sebaik menjemput diri sendiri duduk di kerusi bersebelahan.

Professor Chekhov tidak menjawab. Matanya tidak berkalih dari skrin. Shimizu mengerut dahi. Walaupun pada hakikatnya, ia sudah boleh dikatakan rutin bagi mereka dilayan begitu oleh lelaki tersebut. Sudah tidak menjadi perkara pelik.

Rakaman seorang budak perempuan sedang ditayang pada muka skrin. Mungkin berusia sembilan atau sepuluh tahun, tangan kanannya diangkat, jari-jemarinya bergerak sedikit seolah bermain piano di udara.

Pada masa yang sama, anak-anak patung kecil di atas meja di hadapannya turut bergerak. Anak-anak patung kecil itu masing-masing bangun, dan berjalan penuh tertib ke arah dinding rumah mini dan perabot yang berada di dalamnya. Anak-anak patung kecil itu kemudian berdiri senyap. Menggayakan posing, tidak ubah seperti model-model professional.

Budak perempuan itu tersenyum memandang kamera.

Telekinesis. Kebolehan untuk mengawal objek menggunakan minda.

Namun dalam sekelip mata, rumah mini itu tiba-tiba meletus dengan api yang marak. Budak perempuan itu terjerit kecil. Si perakam video serta-merta bergerak ke depan dan menarik lengan budak perempuan itu untuk menjauhi meja. Seorang staf muncul berkot putih. Membawa alat pemadam api dan menyembur tepat ke arah kebakaran mengejut itu.

"Boleh tahan, Miaa." Professor Checkhov turut muncul di dalam paparan skrin. Kelihatan beberapa tahun lebih muda berbanding sekarang, dia tersenyum meletakkan tangan di belakang budak perempuan itu.

"Kali pertama nampak dia senyum." Shimizu berbisik di telinga Chris.

Video di hadapan mereka terhenti di situ, pada wajah budak perempuan yang dipanggil "Miaa" tadi sedang tersenyum dengan riak sedikit risau, mungkin kerana memikirkan api yang tiba-tiba meletus.

"Saya tak pernah nampak dia." komen Chris.

Professor Checkhov bangun dari kerusi. Dia membuka peti sejuk mini di sudut dinding, mengambil dan mencampak dua tin jus ke arah Chris dan Shimizu.

"Miaa tarik diri dari program ni minggu lepas." jawabnya senada. "Kawalan dia boleh dikatakan agak bagus sekarang."

"Awak macam kecewa." Chris tersenyum. "Dia nampak macam anak pada awak."

"Dan anak-anak, bila dah besar, memang suka buat keputusan sendiri." sahut lelaki berbangsa Rusia itu sambil kembali duduk di kerusi. Susu kotak bersaiz kecil di tangannya dikoyakkan mudah, sebelum diteguk lama. Lelaki itu kemudian mengerut dahi merenung siling. "Dia diterima masuk ke "something House" di England."

Tin jus di mulut Chris tidak jadi diteguk.

"England?"

"Elizabeth House…?"

"Whammy House."

"Yes." Professor Checkhov memetik jari. Air susu diteguk lagi.

"Nama dia Miaa?"

"Ayahnya dulu kawan saya yang bekerja di NASA."

"Macam tu." Chris meletakkan tin jus ke atas meja. "Saya ke tandas." katanya seraya bangun berdiri.

Telefon bimbitnya ditarik dari poket sebaik dia melangkah keluar meninggalkan blok kaca Professor Checkhov.

Sebaik menemui nombor yang dicari, Chris menaipkan mesej kepada pemiliknya:

"Hello Matt. Saya rasa kalau saya cari Lana pun boleh jugak, tapi disebabkan dia bertegas kata dia bukan dihantar oleh Whammy House… Saya cari awak."

.bab 1.

.

.


NOTA PENULIS: Eh. Hai. Erm saya kurang pasti ada ataupun tidak orang akan baca fanfiction ni. Dalam Bahasa Melayu! In the case that ada yang membaca, firstly saya nak ucap terima kasih dan please tinggalkan komen walaupun cuma untuk kata "ada yang baca niii" - I will be most grateful. Kritikan membina dialu-alukan! Next, saya ada niat untuk translate fanfiction ni into English, tapi belum pasti exactly when. Lastly for now, fanfiction ni "indulgently ikut suka-hati enjoy syok sendiri aje" saya tulis, jadi saya aware betapa "freestyle" saya mengolah aspek dalam dunia "Death Note" untuk fanfiction ni semata-mata. Like it or not, this is how I am doing it. Sekali lagi terima kasih membaca! (: